ABTRAKS
Azmi Abdul Manaf, Nik Hairi Omar & Lee Kuan Yee
Dalam artikel ini, kami menganalisis
tiga perkara berkaitan keusahawanan iaitu faktor yang
mempengaruhi penglibatan usahawan dalam
perniagaan, tahap keuntungan yang diperoleh dan faktor kritikal bagi kejayaan
usahawan dalam perniagaan diceburi. Seramai 70 usahawan terlibat dalam kajian
ini. Penganalisisan data menunjukkan faktor utama mempengaruhi penglibatan usahawan
dalam perniagaan ialah keinginan mencapai kebebasan dan kepuasan, disusuli pelbagai
faktor lain seperti membantu menyara keluarga, ingin kaya, cita-cita, ingin
berdikari dan tidak suka bekerja makan gaji. Majoriti usahawan yang dikaji
dapat digolongkan sebagai usahawan berjaya berdasarkan keuntungan perniagaan
dan keupayaan usahawan mengecap keuntungan perniagaan selama lebih dari tiga tahun.
Analisis pangkatan menunjukkan kejayaan keusahawanan lebih disumbangkan oleh
faktor usia semasa memulakan perniagaan, cara pengurusan rekod dan kawalan
kewangan, kemahiran perancangan, kemahiran pemasaran dan tahap pendidikan
usahawan itu sendiri. Walau bagaimanapun, korelasi Pearson sehala antara faktor
kejayaan dengan tahap purata keuntungan dan purata keuntungan industri
mendapati hanya empat faktor dapat dianggap sebagai faktor kritikal atau
signifikan kepada kejayaan iaitu pengalaman pengurusan(r=0.312, k<0.05),
pengalaman industri (r=0.308, k<0.05), keadaan ekonomi (r=0.265, k<0.05)
dan kemahiran perancangan (r=0.251, k<0.05). Kajian menyarankan Keempat-empat
faktor ini diberi penekanan oleh agensi yang melatih usahawan bagi memastikan bilangan
usahawan berjaya dapat ditingkatkan.
No comments:
Post a Comment